Search This Blog

Friday, April 5, 2013

Diugut selepas bantah pajak tanah

Diugut selepas bantah pajak tanah
Nadarajah (kanan) bersama Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah menunjukkan laporan polis di Balai Polis Serdang. Penjaja terjejas jika swasta bina pasar raya

Serdang: Lebih 30 peniaga di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, di sini, mendakwa diugut selepas membantah tindakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang memajakkan tanah pasar itu kepada sebuah syarikat swasta.

Sehubungan itu, peniaga yang terbabit tampil membuat laporan polis di Balai Polis Serdang, semalam dan meminta tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak berkenaan.
Peniaga, Che Roslan Che Pa, 49, berkata tanah yang pada mulanya berkeluasan kira-kira 21 hektar itu kini hanya tinggal 0.8 hingga dua hektar saja selepas pihak pengurusan memajak kepada syarikat swasta berkenaan.


Dia yang sudah 12 tahun berniaga sayur di situ berkata, lebih malang syarikat swasta terbabit dilaporkan bakal membina sebuah pasar raya di tapak itu dan ia dikhuatiri menutup mata pencarian kira-kira 300 peniaga di situ.

Pernah buat demonstrasi 

“Kami pernah membuat demonstrasi bagi membantah pembinaan pasar raya itu, namun bukan saja tidak diendahkan, malah kami turut diugut untuk tidak dibenarkan berniaga di pasar itu lagi.

“Apabila pasar raya itu siap nanti sudah pasti orang ramai tidak akan datang ke sini (Pasar Borong Selangor) lagi. Ini akan menutup terus pintu rezeki kami,” katanya membuat laporan polis di sini.
Seorang lagi peniaga, P S Nadarajah, 49, mendakwa pihak pengurusan juga turut menyewakan tapak di pasar berkenaan kepada warga asing yang kini hampir 50 peratus daripada keseluruhan peniaga.

“Bukan itu saja, mereka turut memonopoli penjualan ais batu di situ dan tidak membenarkan kami mendapatkan bekalan itu daripada syarikat luar,” katanya.

No comments:

Post a Comment