Search This Blog

Tuesday, April 16, 2013

Ditembak lelaki tak dikenali

Dua ahli perniagaan dibunuh dari jarak dekat

Ipoh: Dua ahli perniagaan maut di tempat kejadian selepas ditembak dari jarak dekat oleh lelaki tidak dikenali ketika sedang menikmati hidangan dalam dua kejadian berasingan, masing-masing di Taiping, semalam dan di Seremban, lewat petang kelmarin.
Ditembak lelaki tak dikenali
Tan Kok Soon
Dalam kejadian jam 9.05 pagi di Taiping, mangsa seorang peniaga besi buruk berusia 47 tahun mati di tempat kejadian ketika sedang bersarapan di sebuah kedai makan berhampiran Pasar Simpang.


Manakala, di Seremban, mangsa, Tan Kok Soon, 56, ditembak dari jarak dekat ketika makan malam bersama keluarganya di sebuah restoran di Pusat Komersial Oakland.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusof Mohd Diah, berkata sebelum kejadian, mangsa didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang kemudiannya melepaskan tembakan.

Peluru tembus kepala 

“Peluru berkenaan mengenai belakang kepala mangsa dan menembusinya sehingga terkena sebuah kereta PERODUA ViVa yang diletakkan berhampiran lokasi kejadian.
“Mangsa maut di tempat kejadian akibat parah dan mengalami pendarahan serius,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Taiping sebelum dihantar ke Unit Forensik Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, untuk bedah siasat.

“Polis sudah mengambil keterangan daripada ahli keluarga mangsa dan beberapa saksi kejadian bagi membantu siasatan. Kita masih mengumpul maklumat mengenai identiti suspek dan mengenal pasti motif pembunuhan.

“Polis tidak menolak kemungkinan pembunuhan itu ada kaitan dengan kegiatan kongsi gelap. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam kejadian di Seremban, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Superintendan Zazali Hashim, berkata siasatan awal polis mendapati mangsa ditembak di bahagian belakang badan oleh seorang lelaki menggunakan pistol semiauto.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.55 petang itu, mangsa mati di tempat kejadian di depan isteri dan dua anak, yang berusia lima tahun dan 11 tahun.

Katanya, suspek yang memakai topi keledar penuh melepaskan tiga das tembakan dan melarikan diri menggunakan motosikal yang diparkir di kawasan berhampiran.

“Polis masih menyiasat motif daripada pelbagai sudut dan tidak menolak kemungkinan serangan itu berunsurkan dendam,” katanya yang memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan.

No comments:

Post a Comment