Dinding Masjid diconteng perkataan kesat kutuk parti politik
Mohd Basri (dua, kiri) bersama jemaah masjid menunjukkan perkataan kesat ditulis di dinding beranda masjid.
BANDAR TUN RAZAK - Jemaah Masjid Assyakirin Felda Keratong 5 yang ingin menunaikan solat Subuh gempar apabila dinding beranda masjid itu diconteng dengan tulisan tidak sepatutnya menggunakan penyembur cat berwarna merah, semalam.
Calon Pas Dun Bukit Ibam, Syukri Ahmad berkata, perbuatan itu dipercayai dilakukan pihak yang ‘taasub’ berpolitik hingga sanggup mencemar kesucian Islam.
Menurutnya, perbuatan itu juga disifatkan sebagai tidak menghormati masjid yang menjadi tempat umat Islam menunaikan solat, menuntut ilmu dan mengeratkan perpaduan.
“Kami mengecam tindakan tidak bertanggungjawab dilakukan pihak yang mungkin ekstrem politik hingga lupa masjid adalah rumah ALLAH SWT yang perlu dimuliakan,” katanya.
Syukri berkata, perkara itu dianggap serius memandangkan masjid bukanlah ‘gelanggang’ untuk mana-mana pihak meluahkan perasaan tidak puas hati.

“Kita sepatutnya menghormati sistem demokrasi sedang berjalan, tetapi biarlah dengan cara yang betul dan bukannya bertindak dengan fikiran tidak waras hingga menyebabkan kita tidak menghormati rumah ibadah,” katanya.

Sehubungan itu katanya, Pas diketuai Ketua Penerangan Kawasan Rompin, Suhaimi Ahmad membuat laporan di Balai Polis Bandar Tun Razak pada jam 11 pagi semalam.

“Bagi melahirkan perasaan kesal, kami turut mengajak jemaah masjid menunaikan solat hajat selepas solat Jumaat supaya diberikan petunjuk kepada mereka yang melakukan perbuatan terkutuk itu,” katanya.

Pengerusi Masjid Keratong 5, Mohd Basri Abd Rahim pula berkata, semua jawatankuasa masjid tanpa mengira fahaman politik mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut sambil menyifatkan ia sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, jawatankuasa masjid juga melarang dan tidak membenarkan sama sekali mana-mana pihak untuk berpolitik di dalam masjid.
“Kami kesal dengan perbuatan tersebut dan meminta polis menyiasat perkara ini dengan lebih mendalam," katanya.

Sinar Harian 19 April lalu melaporkan, seramai 20 ahli Pas membuat laporan polis di Bandar Tun Razak selepas bendera parti itu dipatahkan dan diconteng dengan pelbagai lakaran menggunakan cat berwarna hitam di sekitar Bandar Tun Razak, Keratong 3 dan Keratong 5.
Bagaimanapun, keesokannya, Barisan Nasional (BN) pula tampil membuat laporan sama apabila mendakwa dua bendera parti itu turut dibakar.
Perbuatan khianat itu mendorong kira-kira 50 pengundi muda BN diketuai Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Keratong 5, Yahya Darus membuat laporan di balai polis sama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, polis sudah menyiasat kes itu dan mengklasifikasikan ia sebagai perbuatan khianat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.