Search This Blog

Saturday, April 27, 2013

‘Dia tergesa-gesa’



Putrajaya: “Saya tidak sempat bersalaman dengan bapa pagi ini,” kata Suhana Shaharuddin, 34, anak sulung Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Bahagian Perkastaman/Cukai Dalam Negeri, Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, yang maut ditembak semalam.

Menurutnya, pada sebelah pagi sebelum kejadian, dia melihat bapanya tergesa-gesa keluar dari rumah untuk ke pejabat.


“Saya akan bersalaman dengan ayah setiap hari sebelum dia keluar bekerja namun hari ini dia amat tergesa-gesa,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, di sini, semalam.

Suhana yang masih berpantang selepas melahirkan anak keempatnya berkata, dia duduk di rumah keluarganya sejak sebulan lalu.


“Sepanjang tinggal di sini, saya tidak pernah terlepas untuk bersalaman dengan bapa setiap pagi sebelum dia keluar bekerja,” katanya yang menyifatkan Allahyarham bapa yang tegas namun penyayang.


Sementara itu, kakak keempat arwah, Zaleha Ibrahim, 70, berkata kali terakhir beliau berjumpa arwah dua minggu lalu di rumahnya di Kuala Selangor selepas adik lelakinya itu mahu benar berjumpa dengannya.

“Shaharuddin memberitahu sangat rindukan saya dan mahu berjumpa kerana sudah lama kami tidak berjumpa. Saya dan arwah sangat rapat kerana saya yang menjaganya ketika dia melanjutkan pengajian di universiti.


“Saya tidak menyangka itu pertemuan terakhir dan arwah pergi selepas dia beriya-iya mahu berjumpa,” katanya memberitahu Allahyarham anak kelapan daripada sembilan beradik.

Menurutnya, arwah tinggal bersama isteri dan seorang anak lelakinya di Dengkil, Selangor.


“Seorang lagi anak perempuan arwah bekerja sebagai pegawai perubatan di sebuah hospital dekat Kuantan,” katanya.


Arwah meninggalkan balu, Datin Rahimah Ibrahim, 58, sepasang anak dan empat cucu.


Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 selepas disembahyangkan.

No comments:

Post a Comment