Search This Blog

Tuesday, April 9, 2013

Dadah RM900,000 dalam bagasi



Kuala Lumpur: Seorang lelaki rakyat asing yang menjadikan negara ini sebagai transit menyimpan 3.1 kilogram (kg) kokain sebelum diseludup ke Vietnam, ditahan di sebuah hotel di Jalan Pudu di sini, malam kelmarin.

Lelaki berusia 42 tahun berasal dari Filipina itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin selepas menaiki penerbangan dari Colombia ke Rio De Janeiro sebelum melalui Dubai.
Suspek membawa dadah bernilai RM900,000 dalam sebuah bagasi dan disembunyikan dalam gulungan kertas faksimili, kertas pelekat dinding dan juga buku bagi melepasi pemeriksaan mesin pengimbas di KLIA.

Bagaimanapun, polis berjaya menahan lelaki terbabit dipercayai keldai dadah itu di sebuah hotel di Jalan Pudu di sini, selepas menerima maklumat daripada pihak berkuasa UAE di Dubai mengenai kegiatannya.

Disimpan sementara

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim, berkata dalam serbuan itu, polis menemui 18 bungkusan dadah kokain bersama lelaki terbabit.

Beliau berkata, dadah terbabit dipercayai disimpan sementara waktu di negara ini sebelum diseludup ke Hanoi.
“Kita percaya keldai dadah ini menerima arahan dari sindiket dadah antarabangsa. Dia diarah berada beberapa hari di negara ini sebelum menaiki penerbangan ke Hanoi untuk membawa bekalan bagi edaran di Vietnam,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berkata, sindiket dadah antarabangsa terbabit berbuat demikian kerana pihak berkuasa Vietnam menganggap Malaysia bukan lokasi pemprosesan dadah sekali gus memudahkan mereka menyeludup dadah ke negara berkenaan.

Terdahulu seorang lagi keldai dadah warga Nigeria berusia 32 tahun ditahan di KLIA, pada hari sama selepas dikesan menyembunyikan empat bungkusan dadah syabu seberat 1.5 kg bernilai RM300,000 dalam ruang beg pakaiannya yang diubahsuai.
Noor Rashid berkata, suspek yang menaiki penerbangan dari Abuja, Nigeria ke Kaherah, sebelum mendarat di KLIA kira-kira jam 7 petang dikesan memasuki negara ini sebagai pelancong.

No comments:

Post a Comment