Bom lama ditemui
Bom berusia 40 tahun yang ditemui pekerja ladang di Felcra Darat Batu, Kanchong Darat, Banting, kelmarin.
KUALA LANGAT – Seorang pekerja ladang terkejut menemui sebutir bom lama berdekatan kawasan pemunggahan buah di Felcra Darat Batu, Kanchong Darat, Banting, di sini, kelmarin.

Pekerja warga Indonesia berusia 32 tahun itu menemui bom terbabit kira-kira jam 5.30 petang, sebelum memaklumkan kepada pengurus projek, Mohd Redzuan Abdul Wahab, pagi semalam.

Mohd Redzuan berkata, beliau terus menghubungi polis kerana bimbang bom itu masih aktif dan membahayakan keselamatan pekerja.

“Sebelum ini, pengurus projek lain pernah menemui bom seperti itu dan kejadian semalam adalah yang kedua dilaporkan berlaku di sini.

“Bom itu dipercayai dari zaman penjajahan Jepun dan tidak ditemui sebelum ini kerana tertimbus dengan tanah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan semalam mengesahkan penemuan bom terbabit.

Beliau berkata, seramai enam anggota dari Unit Pemusnah Bom IPD Kuala Langat dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dihantar ke lokasi kejadian untuk siasatan.

Katanya, bom dianggarkan berusia 40 tahun itu dimusnahkan kira-kira jam 11.40 pagi semalam.