KUALA LUMPUR - Bekas penjaga kafe siber dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh rakannya yang datang membawa kek, sehari sebelum hari jadi ke-19nya.
  
Dalam penghakimannya Hakim Amelia Tee Abdullah berkata pembelaan yang hanya memanggil tertuduh, Lee Weng Fatt sebagai saksi, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
  
Pendakwaan memanggil 19 saksi, termasuk seorang pekerja sosial gereja, yang membantu polis menahan Lee, sehari selepas kejadian itu.
  
Lee, 22, didakwa membunuh Tan Teng Lin, 22, di dalam sebuah kenderaan yang diletakkan di Jalan Awan Gelugur, Taman OUG, Off Jalan Klang Lama, antara 11 pagi 10 April, 2010 dan 5 pagi keesokkannya.
  
Menurut fakta kes, Lee dan Tan berkawan, namun mereka berselisih faham membabitkan hutang tertuduh kepada simati.

Pegawai penyiasat ASP Erwanshah Abdul Basir, semasa perbicaraan memberitahu mahkamah Lee bersetuju membayar hutang kepada Tan, dan Tan datang ke tempat kejadian dengan sebiji kek pada malam itu.
  
Bagaimanapun berlaku pertengkaran yang menyebabkan Lee menikam Tan dengan pisau di dada kiri dan meninggalkan mangsa dalam kenderaan.
  
Laporan bedah siasat menunjukkan Tan mati akibat pendarahan teruk.
  
Timbalan Pendakwaraya P.Viknesvaran mewakili pendakwaan manakala Lee diwakili peguam CW Chan. - Bernama