Bapa mengamuk di balai polis
Mangsa bersama ibunya.
ALOR GAJAH - Gara-gara ketagih berjudi, seorang lelaki tergamak membelasah dan mengugut isteri serta anaknya kerana enggan memberikannya sejumlah wang di perkarangan Balai Polis Masjid Tanah di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun dibelasah bapanya yang berusia lingkungan 50-an menggunakan topi keledar sebelum dihalang ibunya yang berusia 45 tahun.

Difahamkan, dalam kejadian itu, lelaki terbabit mendesak isteri supaya memberikannya wang berjumlah RM500 yang akan digunakan untuk menukar kad pengenalan merah isterinya yang merupakan warga Indonesia.

Jurucakap polis berkata, sebelum kejadian, mangsa menerima panggilan kecemasan daripada ibunya yang memaklumkan bapanya membuat kecoh di tempat kerjanya di sebuah kedai makan dekat Masjid Tanah.

“Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Tanjung Bidara selepas menghantar adiknya ke sekolah berpatah semula ke pekan untuk mengambil ibunya," katanya.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, kereta yang dinaiki mangsa bersama ibunya diekori ayahnya yang menaiki motosikal.

"Bimbang diancam ayahnya, mangsa berpatah semula ke arah pekan Masjid Tanah menuju ke balai polis, namun bapanya juga tiba di situ sebelum melulu ke arahnya dan ibunya yang masih dalam kereta.

“Bapanya terus merentap pintu kereta mangsa dan membelasahnya menggunakan topi keledar,” katanya.

Jurucakap polis berkata, melihat keadaan itu, ibunya keluar dari kereta dan cuba meleraikan pertelingkahan dua beranak terbabit, namun tidak berjaya.

“Ibu mangsa bergegas masuk ke dalam balai polis dan meminta bantuan anggota polis untuk meredakan keadaan sebelum bapa mangsa beredar. Selepas itu, mangsa terus membuat laporan berhubung kejadian,” katanya.

Katanya, mangsa kerap menjadi tempat melepaskan amarah sejak berusia tiga tahun lagi dan pernah cedera beberapa kali di badan serta kaki akibat dipukul bapanya yang tidak bekerja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan laporan berhubung kejadian.