Search This Blog

Tuesday, April 9, 2013

Arwah minta ‘kotak bertutup’



Kuantan: “Mak, Achik habis belajar nanti tolong carikan kotak simpan barang, tapi kotak itu mesti bertutup,” kata penuntut Kolej Matrikulasi Gambang di sini, Nur Ajlaa DZukarnain, 19, sebelum terbunuh apabila kereta Perodua Kancil dinaiki bersama empat rakan sekolejnya terbalik di Jalan Kuantan-Pintasan Pelabuhan Kuantan, berhampiran sebuah stesen minyak di sini, petang kelmarin.

Bagaimanapun, permintaan terakhir mangsa sama sekali tidak diduga ibunya, Serifah Saiwah Syed Bakar, 49, dari Sungai Isap 2, di sini, apabila ‘kotak bertutup’ yang dimaksudkan itu ialah keranda.


Nur Ajlaa, penuntut semester akhir jurusan akaun yang disenaraikan pensyarah sebagai pelajar cemerlang kolej berkenaan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan mayatnya dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Taman TAS.

Empat lagi rakan mangsa yang turut cedera dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, mendapatkan rawatan sebelum seorang daripada mereka dibenarkan pulang.


Serifah berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu sempat singgah di rumah selepas bersiar-siar sambil merakam gambar dengan rakannya di Pantai Cherating di sini, termasuk membeli alat tulis menggunakan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) di bandar ini.


Menurutnya, sebelum Nur Ajlaa dan rakannya keluar dari rumah pada jam 6.15 petang untuk pulang ke kolej, dia sempat bersalam serta mencium pipi sebelum anaknya itu memesan kepadanya supaya mencari kotak bertutup.

“Malam tadi (kelmarin) ketika memikirkan maksud kotak bertutup yang dimintanya, baru saya dapat meneka ia adalah keranda.


“Lebih menyedihkan baru-baru ini dia menghubungi saya memberitahu tidak memakai baju kuning yang diberikan saya ketika majlis makan malam kolejnya sebaliknya memakai baju berwarna putih,” katanya.

No comments:

Post a Comment