Anak berstatus bukan warganegara
Khairul Nizam (tengah) menunjukkan sijil kelahiran anaknya yang berstatus bukan warganegara.
BALING - Seorang bapa runsing apabila anak sulungnya berusia enam tahun tidak diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.

Khairul Nizam, 27, dari Kampung Rambong berkata, anak sulungnya itu, Mohd Haikal Hakimi Abdullah, 7, masih gagal mendapat status warganegara sejak dilahirkan.

Menurutnya, sijil kelahiran anaknya itu masih berstatus bukan warganegara seterusnya memberikan kesan kepada anaknya itu untuk memperolehi Mykid.

“Saya telah berusaha ke Pejabat Pendaftaran daerah termasuk ibu pejabat negeri. Tetapi, masih belum mendapat respons yang positif,” katanya.

Khairul Nizam berkata, anaknya itu dilahirkan di Hospital Sungai Petani dan mengikut prosedur yang ditetapkan, namun, anaknya tetap dibinkan kepada Abdullah berbanding namanya.

“Disebabkan itu, saya keliru malah bimbangkan masa hadapan anak saya ini,” katanya semasa ditemui di Pejabat Pertubuhan Kebajikan Rakyat Baling (Perkeba).

Katanya, dia dan pasangannya dari Indonesia berkahwin di Thailand sebelum mendaftar di negara ini.

“Untuk membolehkan pengesahan perkahwinan, saya diarahkan untuk berkahwin semula di Indonesia kerana dimaklumkan sebagai salah satu prosedurnya.

“Saya ikut arahan, dan berkahwin semula di Indonesia. Namun, apabila anak saya dilahirkan, dia gagal mendapat taraf warganegara,” katanya.

Keadaan itu memberikan kesan kepada pembelajaran anaknya yang bakal memasuki alam persekolahan tahun hadapan.

“Sebenarnya, anak saya tidak dapat memasuki kelas tadika. Tetapi, hasil budi bicara, guru membenarkan dia belajar di situ. Justeru, saya risau, keadaan ini turut akan memberikan kesan kepada persekolahannya kelak,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menyalahkan sesiapa, tetapi berharap pihak bertanggungjawab dapat membantu menyelesaikan masalahnya.

“Telah bertahun, saya ke pejabat itu, ke pejabat ini.

"Namun, tiada perubahan. Saya keliru dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Perkeba, Siti Aishah Abdul Rahman berkata, pihaknya akan cuba membantu menyelesaikan masalah itu.

“Kita akan siasat masalah ini bagi membolehkan Mohd Haikal memperolehi sijil warganegaranya. Kita tidak  mahu kanak-kanak ini tercicir dari menerima pendidikan hanya disebabkan tidak diiktiraf sebagai warganegara” katanya.