AJK Veteran Umno maut nahas
Seorang penduduk menunjukkan lokasi mangsa dan suaminya dirempuh motosikal. Gambar kecil: Awa Ali
ALOR GAJAH - Seorang Ahli Jawatankuasa Veteran Umno wanita maut selepas dirempuh motosikal di Jalan Kampung Panchor, Durian Tunggal, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, mangsa, Awa Ali, 62, bersama suami, Adam Khamis, 65, sedang melintas jalan untuk menghadiri ceramah Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di sebuah taman sebelum dirempuh motosikal ditunggang seorang lelaki lingkungan usia 20-an.

Difahamkan, mangsa dan suami yang sudah melintas separuh jalan dirempuh motosikal berkenaan mengakibatkan mangsa tercampak dan terseret manakala suaminya melambung ke tengah jalan.

Menurut Adam, dia meletakkan kenderaan di kiri jalan sebelum melintas seiring dengan isterinya, malah menyedari kehadiran motosikal ditunggang lelaki berkenaan dari arah Durian Tunggal.

“Arwah minta saya jalan lebih cepat, namun motosikal tadi terus rempuh kami sehingga tercampak ke tengah jalan,” katanya.

Adam berkata, dalam keadaan kakinya yang sakit, dia segera menerpa ke arah isterinya yang tersembam atas jalan lalu memangku atas riba.

“Saya panggil nama arwah berulang kali namun tiada perkataan lain yang keluar dari mulut arwah selain ‘sakit..sakit...’ Saya lihat penunggang motosikal tadi juga terjatuh dari motosikal,” katanya.

Adam yang juga bilal Masjid Kampung Panchor berkata, dalam keadaan panik dia dan arwah dibantu orang awam yang menghadiri ceramah berkenaan sebelum dibawa ke Hospital Alor Gajah.

“Arwah disahkan meninggal dunia pada jam 12.15 tengah malam semalam,” katanya.

Allahyarham Awa juga merupakan bekas Ketua Penerangan BN Bahagian Selandar dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Wanita Umno kawasan Panchor, Durian Tunggal, selama 24 tahun sebelum terlibat dalam Persatuan Veteran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, mangsa dilanggar motosikal yang cuba mengelak sebuah kereta membelok masuk ke taman itu.

“Kereta terbabit sehala dengan motosikal itu  dari arah Durian Tunggal membelok masuk ke taman terbabit menyebabkan motosikal tadi cuba mengelak namun terlanggar mangsa dan suami yang melintas.

“Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 12.15 tengah malam sementara suaminya patah rusuk kiri.

“Penunggang motosikal mengalami kecederaan dirawat di Hospital Melaka. Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.