Search This Blog

Thursday, April 11, 2013

9 lagi ditahan ada kaitan pengganas


Kota Kinabalu: Polis menahan sembilan individu lagi, termasuk dua wanita dipercayai mempunyai kaitan dengan pengganas dalam beberapa serbuan di Beluran, malam kelmarin dan pagi semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata tujuh daripada suspek adalah warga Filipina, manakala dua lagi warga tempatan.
Beliau berkata, sembilan suspek berusia 20 hingga 50-an itu ditahan dalam serbuan antara jam 8 malam kelmarin hingga jam 10 pagi semalam.

“Beberapa suspek warga asing, yang ditahan tidak memiliki sebarang dokumen dan kita turut merampas sejumlah parang, dokumen dan wang tunai RM1,500,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, semalam.

Tiada pertempuran

Hamza berkata, tiada pertempuran atau pergelutan berlaku ketika pasukan keselamatan menahan semua suspek terbabit.

“Semua sembilan suspek ditahan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk siasatan lanjut.
“Sekiranya ada bukti mereka terbabit dengan pengganas, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 130 Kanun Keseksaan dibaca bersama SOSMA kerana menjadi ahli dalam kumpulan pengganas,” katanya.

Hamza berkata, seramai 181 individu ditahan mengikut SOSMA sejak Ops Daulat dilancarkan pada 5 Mac lalu, manakala 334 individu ditahan atas pelbagai kesalahan lain.

“Kebanyakan yang ditangkap disebabkan mereka menyokong dan menjadi tali barut kepada pengganas,” katanya.

Selamat dikebumikan

Sementara itu, beliau berkata, 17 mayat pengganas yang selesai dibedah siasat sudah dikebumikan di beberapa lokasi di negeri ini.

“Sebelum dikebumikan, semua mayat berkenaan dimandi, dikafankan dan disembahyangkan terlebih dulu. Walaupun mereka pengganas, kita tetap mengebumikan semua mayat mengikut cara Islam,” katanya.

No comments:

Post a Comment