74 pelajar Afghanistan pengsan hidu gas beracun
Beberapa pelajar masih menerima rawatan kecemasan di hospital Takhar, Kabul.
TALUQAN - Seramai 74 pelajar sekolah pengsan selepas dipercayai terhidu gas beracun di utara Afghanistan.

Dipetik AP, pegawai tempatan berkata, kejadian itu berlaku di Sekolah Tinggi Bibi Maryam di wilayah Takhar, Taluqan kira-kira 250 kilometer dari Kabul.

Jurucakap Gabenor Takhar, Sulaiman Moradi berkata, kejadian itu mempunyai unsur politik dengan menyasarkan kanak-kanak sebagai mangsa.

“Kami yakin ia dilakukan musuh kerajaan dalam usaha menghentikan kanak-kanak perempuan daripada pergi ke sekolah. Sehingga kini, tiada pihak bertanggungjawab terhadap kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, ketua hospital, Dr Jamil Froton berkata, sebahagian mereka mendapat rawatan pesakit luar manakala bakinya berada dalam keadaan kritikal.

“Kami menghantar sampel darah mereka kepada Kementerian Kesihatan Awam bagi mencari punca sebenar keracunan itu,” katanya.

Kejadian tersebut berlaku, tiga hari selepas lebih 20 pelajar perempuan memulakan persekolahan di sekolah elit itu.

Tahun lalu, kejadian sama turut berlaku di sekolah perempuan di daerah itu dengan keracunan turut dialami guru dan kakitangan sekolah.