Search This Blog

Tuesday, April 16, 2013

7 rumah rosak dilanda ribut



PONTIAN 15 April - Sebanyak tujuh rumah di Kampung Permata dekat sini, rosak di bahagian bumbung setelah atapnya diterbangkan ribut pada awal pagi semalam.
Kejadian berlaku pukul 5.16 pagi yang disertai hujan lebat itu memaksa mangsa menyelamatkan diri dengan mencari perlindungan di rumah jiran berhampiran.
Seorang mangsa, Jefri Apong, 38, memberitahu, dia yang mendiami rumah ibu angkatnya terkejut apabila mendapati keseluruhan bumbung zink kediaman itu diterbangkan ribut dalam beberapa saat sahaja.
Katanya, dia bersama adik angkat bernasib baik kerana tidak ditimpa siling bilik yang runtuh tetapi mereka terpaksa menyelamatkan diri berlari ke bahagian dapur.
"Saya terpaksa berpaut pada mangkuk tandas selama beberapa minit berikutan semua struktur rumah tersebut bergegar dengan kuat apabila dilanda ribut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Jefri berkata, dia bagaimanapun bersyukur kerana terselamat tetapi masih terkejut dengan kejadian itu.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang melawat ke tempat kejadian turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM2,000 kepada semua mangsa.
Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Pontian berkata, setiap mangsa menerima sumbangan antara RM200 hingga RM1,000 bergantung kepada kerosakan untuk membeli atap zink atau asbestos bagi memastikan mereka dapat mendiami semula rumah berkenaan dengan segera.
Katanya, sumbangan itu merupakan bantuan awal kepada semua mangsa dan mereka turut diberikan bantuan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam bentuk pakaian, makanan dan keperluan lain.
"Kerajaan Barisan Nasional (BN) memberikan perhatian kepada mangsa yang terlibat memandangkan kawasan tersebut terletak berhampiran pantai yang memungkinkan kejadian seperti ribut, air pasang besar dan sebagainya menjejaskan kediaman mereka," katanya.
Beliau turut meminta penduduk supaya berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan menghubungi pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan ketua kampung sekiranya berlaku kejadian seumpama itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130416/dn_11/7-rumah-rosak-dilanda-ribut#ixzz2Qa5FaEkt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment