DUNGUN - Seorang peniaga dan keluarganya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Taman Impian Paka di sini hangus terbakar tengah hari tadi.
  
Saifulizam Abdullah, 48, berkata ketika itu dia sedang berniaga di pasar apabila dimaklumkan tentang kebakaran oleh jirannya.
 
Anggota keluarganya yang lain juga tiada di rumah.
  
Dia berkata setelah dimaklumkan, dia segera pulang dan mendapati api telah marak dan gagal menyelamatkan harta bendanya termasuk buku dan pakaian sekolah empat orang anaknya.
 
Namun keretanya berjaya diselamatkan jiran-jiran.
  
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Zailani Husin berkata api dipercayai marak dari ruang dapur rumah teres itu. - Bernama