5 penguatkuasa lalui detik cemas
Hasrulnizam (kanan) dan seorang anggotanya memeriksa DVD yang dirampas dalam serbuan di pasar malam Changlun, malam kelmarin.
Jitra - Serbuan yang dilakukan lima anggota penguatkuasa Bahagian Kawalan Filem (BKF) Kedah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertukar kelam-kabut apabila didatangi sekumpulan lelaki yang bertindak mengepung mereka di pasar malam Changlun, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, anggota penguatkuasa baru selesai membungkus cakera padat digital (DVD) di dua kaunter yang diserbu di pasar malam itu.

Ketua Cawangan BKF Kedah, Zainal Abidin Othman berkata, operasi yang diketuai Hasrulnizam Ishak bersama empat anggota menerima aduan bahawa beberapa peniaga berkenaan menjual DVD yang dilarang kerajaan.

Menurutnya, sebelum serbuan dijalankan serbuan anggota penguatkuasa bertindak memantau dan menjalankan pemeriksaan terlebih dahulu, peniaga terbabit melarikan diri ketika serbuan dilakukan.

“Selepas serbuan anggota penguatkuasa berjaya merampas hampir 200 keping DVD dan secara tiba-tiba datang seorang lelaki yang dipercayai peniaga DVD terbabit dalam keadaan tidak berpuas hati.

“Lelaki terbabit bertindak menghalang anggota kami menjalankan tugas sehingga menyebabkan berlaku pergelutan sebelum beberapa anggota lain bertindak meleraikannya,” katanya.

Zainal Abidin berkata, anggotanya berjaya menahan suspek dan bertindak menggari suspek tetapi beberapa lelaki dipercayai rakan suspek datang dan cuba mengepung anggotanya yang bertugas ketika itu.

“Kami terpaksa melepaskan suspek disebabkan bimbang kejadian tidak diingini berlaku berikutan kawasan tersebut mempunyai ramai rakannya memandang keselamatan anggota juga perlu diutamakan.

“Sebenarnya kita tidak berniat untuk menahan lelaki itu sebaliknya hanya untuk membuat rampasan DVD yang tiada sijil perakuan B,” katanya.

Katanya, kesemua barangan yang dirampas bernilai RM1,000 dan pihaknya turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, malam kelmarin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Penapisan Filem 2002 kerana tidak mempamerkan sijil perakuan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau maksimum RM30,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.