Search This Blog

Tuesday, April 23, 2013

5 maut dalam kemalangan ngeri



Seorang anggota polis trafik dan orang ramai melihat mayat dan motosikal yang remuk teruk dalam kemalangan yang mengakibatkan lima orang maut di KM10.5 Lebuh Raya Persekutuan di Shah Alam awal pagi semalam. - Utusan/Saharuddin Abdullah
SHAH ALAM 21 April - Dua daripada tiga sahabat yang berhenti di lorong kecemasan kerana sebuah daripada tiga motosikal ditunggang rosak adalah antara lima yang maut akibat dirempuh sebuah kereta awal pagi ini.
Turut maut dalam nahas ngeri itu ialah pemandu kereta tersebut, penumpang sebuah lagi kereta yang berhenti untuk membantu mangsa dan seorang penunggang motosikal lain.
Kemalangan kira-kira pukul 3 pagi itu berlaku di Kilometer 10.5, Lebuh Raya Persekutuan-Shah Alam berhampiran stesen minyak Petronas dan kawasan jirat Cina di sini.
Kesemua mangsa iaitu Mohd. Faridzuan Mohd. Aziz, 21; Amirul Faiq Zainuddin, 22; Syahmie Farid Izzat Samsuddin Shah, 21; Wilson Lee, 22; dan . Kalaychelven, 50, mati di tempat kejadian.
Mohd. Faridzuan yang berasal dari Taman Bukit Kapar, Klang; Amirul Faiq (Meru, Klang) dan Syahmi Farid Izzat (Seksyen 24, Shah Alam) merupakan penunggang motosikal terlibat.
Wilson yang berasal dari Klang, merupakan pemandu kereta Honda City dan Kalaychelvan (Seri Andalas) ialah penumpang kereta BMW. Semua kenderaan terlibat dipercayai dalam perjalanan dari Shah Alam menuju ke Klang.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, kejadian bermula apabila Honda City yang dipandu Wilson hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh tiga motosikal yang sedang berhenti di lorong kecemasan kerana sebuah daripadanya rosak.
Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan Mohd. Faridzuan dan Amirul Faiq terbunuh. Seorang lagi penunggang motosikal yang juga rakan mereka sempat mengelak.
Menurut beliau, Wilson pula terbunuh selepas dipercayai tercampak keluar dari keretanya dan polis masih tidak menemukan dompetnya yang dipercayai terjatuh di dalam keretanya yang remuk.
"Pada masa yang sama, sebuah kereta BMW yang dinaiki empat lelaki berhenti dengan niat untuk membantu mangsa kemalangan.
Bagaimanapun seorang penumpangnya iaitu Kalaychelven yang baru keluar dari kenderaannya tiba-tiba dirempuh motosikal yang ditunggang oleh Syahmie Farid. Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini petang ini.
Zahedi memberitahu, berdasarkan laporan bedah siasat, kesemua mangsa mati akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan dua daripada mereka iaitu Amirul Faiq dan Kalaychelven putus kaki.
Ditanya khabar angin yang menyatakan Wilson mati disebabkan dipukul, Zahedi menegaskan, bedah siasat yang dijalankan mendapati dia mengalami kecederaan parah di kepala.
Bagaimanapun kata beliau, pihak hospital ada mengambil sampel darah mendiang yang akan dihantar ke makmal bagi menjalani ujian alkohol dan keputusannya akan diketahui dalam masa dua minggu lagi.
"Kita minta orang ramai jangan cuba buat spekulasi mengenai kejadian ini," katanya lagi sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130422/je_01/5-maut-dalam-kemalangan-ngeri#ixzz2REtnbHzQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment