Search This Blog

Saturday, April 27, 2013

45 penumpang bas terbunuh, 10 cedera kemalangan di Afghanistan



KANDAHAR 26 April - Sekurang-kurangnya 45 penumpang sebuah bas terbunuh manakala 10 lagi cedera dalam satu kemalangan ngeri membabitkan kenderaan itu dengan sebuah bangkai lori tangki yang diserang pemberontak Taliban dalam satu kejadian di selatan Afghanistan, awal pagi ini.
Kebanyakan mangsa rentung dalam kemalangan itu yang berlaku sejurus sebelum matahari terbit.
Ketua polis wilayah Kandahar, Abdul Razaq berkata, bas itu merempuh trak berkenaan yang ditinggalkan di tengah jalan sekali gus mengakibatkannya terbakar.
Katanya, bangkai lori itu ditinggalkan di tengah jalan sempit berhampiran sempadan wilayah Kandahar dan Helmand selama beberapa hari dan polis menyifatkan jalan itu amat berbahaya untuk dilalui.
"Sebanyak 45 orang terbunuh manakala 10 lagi cedera dalam kemalangan itu,"’ kata jurucakap bagi Gabenor Kandahar, Javeed Faisal.
Katanya, bas itu sedang dalam perjalanan dari Helmand ke Kabul dan dijadualkan berhenti di Kandahar sebelum ia terlibat dalam kemalangan tersebut.
"Kebanyakan mangsa termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak sukar dikenalpasti kerana rentung dan dibawa ke Hospital Mirwais di Kandahar untuk pemeriksaan lanjut," katanya.
Sementara itu, pasukan keselamatan Afghanistan meningkatkan operasi membanteras pemberontak dengan menahan seramai 10 orang dalam operasi yang diadakan semalam dan hari ini. - AGENSI


Artikel Penuh: http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130426/lu_16/45-penumpang-bas-terbunuh-10-cedera-kemalangan-di-Afghanistan#ixzz2RfvsDIkE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment