Search This Blog

Tuesday, April 23, 2013

4 tentera maut dalam letupan



Bangkok: Empat anggota tentera terbunuh dan enam lagi cedera parah dalam satu letupan bom di pangkalan tentera Briged 32 Narathiwat di daerah Bacho, Narathiwat tengah hari semalam.

Bom seberat 25 kilogram dalam silinder gas itu dibawa ke pangkalan tentera berkenaan untuk dilupuskan oleh unit pemusnah bahan letupan.


Ia ditemui awal pagi sebelumnya oleh unit terbabit dekat jambatan di Ban Champako di tambon Kayomati, di mana sepanduk dengan mesej membantah rundingan damai antara kerajaan dan pejuang pemisah ditemui tergantung pada sebatang pokok besar.

Bom terbabit meletup dalam pangkalan tentera berkenaan ketika diperiksa.


Empat anggota tentera terbunuh akibat letupan kuat itu. Dua daripada mereka mati di tempat kejadian, manakala dua lagi maut di Hospital Ratchanakarin, Narathiwat. Enam yang lain pula cedera parah. Dipercayai bom itu disasarkan kepada anggota polis atau tentera yang dihantar ke kawasan terbabit untuk memeriksa sepanduk yang digantung itu.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Narathiwat, Kolonel Krisda Kaewchandee berkata, sepanduk sama turut ditemui di lebih 60 lokasi di 11 daerah kecuali di Tak Bai dan Sungai Golok.

Dua butir bom ditemui bersama sepanduk, satu di tambun Todeng di daerah Sungai Padi dan sebutir lagi di daerah Bacho, Ban Champako. - Bangkok Post

No comments:

Post a Comment