Search This Blog

Thursday, April 11, 2013

4 ditipu lelaki bermulut manis



Oleh Na’imah Mohamed
Subang Jaya: Hasrat seorang ibu tunggal menggandakan wangnya dengan melabur dalam perniagaan bersama seorang lelaki yang dikenalinya terkubur apabila dia kerugian lebih RM30,000 selepas lelaki terbabit gagal memulangkan wang dilaburnya sejak 2011.

Wanita terbabit yang ingin dikenali sebagai Fatimah, 42, membuat pendedahan mengenai rakan kongsinya itu selepas dia mengetahui ramai wanita terutama penjawat awam serta ibu tunggal menjadi mangsa lelaki bermulut manis itu membabitkan kerugian lebih RM50,000.


Menurut Fatimah yang juga penjawat awam di Melaka, dia mengenali lelaki terbabit berusia 35 tahun dalam satu program di Melaka dan sejak itu mereka berkawan baik sehingga ditawarkan menjadi rakan perniagaannya.

“Lelaki terbabit menawarkan saya peluang untuk menjana pendapatan dengan membekal barangan seperti komputer riba dan sebagainya ke pejabat kerajaan di Melaka dan menjanjikan keuntungan lumayan.


“Saya keluarkan modal RM12,000 dan dia berjanji memulangkannya berserta keuntungan RM8,000,” katanya ketika sidang media di pejabat Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia, dekat sini, semalam.


Fatimah berkata, dia menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan apabila lelaki itu sukar dihubungi setiap kali mahu meminta wangnya semula, malah dia turut dimaki dengan kata-kata kesat kerana selalu menghubunginya.

“Mac lalu, saya pergi ke rumah lelaki itu dan memberitahu isterinya mengenai penipuan terbabit. Lelaki terbabit berang dan mengugut akan melakukan sesuatu yang buruk terhadap saya,” katanya.


Sementara itu, Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia, Prof Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya berkata, sebanyak empat aduan diterima pihaknya terhadap individu sama membabitkan kerugian lebih RM50,000.

Beliau berkata, daripada aduan diterima pihaknya percaya kebanyakan mangsa adalah rakan atau saudara yang mengenali suspek terbabit dan pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka untuk mengesan lelaki itu.


“Saya menyeru kepada sesiapa yang ingin membuat aduan berkenaan kes seumpama ini supaya menghubungi pejabat saya di talian 03-56225717,” katanya.

No comments:

Post a Comment