NEW DELHI - Empat beradik mengalami cedera teruk selepas dua lelaki bermotosikal bertindak menyimbah asid ke arah mereka di utara India.

Pegawai polis kanan, Abdul Hameed berkata, tiga daripada mangsa merupakan guru sekolah dan seorang pelajar di daerah Shamli, Uttar Pradesh.

“Mangsa berumur 19 tahun mengalami kecederaan parah selepas terkena asid pada keseluruhan badannya dan terpaksa dikejarkan ke hospital di New Delhi,” katanya dipetik dari AP.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa berusia antara 19 dan 24 sedang berjalan kaki untuk pulang ke rumah dari sekolah. 

“Dua lelaki itu bertindak demikian selepas kesemua mangsa dikatakan tidak melayan lelaki berkenaan. Pembonceng motosikal itu juga didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur lucah terhadap mangsa,” katanya.