Search This Blog

Tuesday, April 16, 2013

32 maut serangan bom kereta



BAGHDAD 15 April - Sekurang-kurangnya 32 orang maut dan lebih 200 lagi cedera dalam siri serangan bom kereta di bandar-bandar utama di Iraq, termasuk dua letupan bom di lapangan terbang antarabangsa di sini, hari ini.
Serangan-serangan tersebut berlaku di Baghdad, Kirkuk, Tuz Khurmato dan beberapa pekan kecil dari utara ke selatan negara ini.
Sumber polis berkata, dua orang terbunuh dalam letupan bom kereta di pusat pemeriksaan di lapangan terbang Baghdad.
"Dua buah kereta melepasi kawasan keselamatan di pintu masuk ke lapangan terbang sebelum ia diletupkan," kata sumber berkenaan.
Serangan paling teruk berlaku di bandar Tuz Khurmato, kira-kira 170 kilometer ke utara Iraq, apabila empat bom diletupkan ketika sepasukan polis sedang melakukan rondaan di bandar tersebut.
Lima polis maut dan 67 lagi cedera dalam serangan itu, termasuk orang awam.
Serangan-serangan itu dilancarkan hanya beberapa hari menjelang pilihan raya wilayah bagi menguji kestabilan politik Iraq sejak Amerika Syarikat (AS) mengundurkan tenteranya pada tahun lalu.
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam serangan terbabit.
Beberapa kumpulan Sunnah lain sebelum ini berikrar untuk melancarkan kempen menentang golongan Syiah dan kerajaan.
Rakyat Iraq akan keluar mengundi pada Sabtu ini, sekali gus menjadi ujian getir bagi pemimpin berfahaman Syiah diketuai Perdana Menteri Nouri al-Maliki sebelum pilihan raya Parlimen pada tahun depan. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130416/lu_03/32-maut-serangan-bom-kereta#ixzz2Qa3cS9Rh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment