Search This Blog

Tuesday, April 9, 2013

31 bungkusan kain putih dalam kubur




Anggota polis menggali kubur misteri yang mengandungi 31 bungkusan kain putih berisi pasir pelbagai saiz di Tanah Perkuburan Islam Limau Manis, Bunut Payung, Jalan Hamzah, Kota Bharu, semalam. - Foto Zaman Huri Isa
Kota Bharu: Polis menemui 31 bungkusan kain putih dalam sebuah kubur misteri di Tanah Perkuburan Islam Limau Manis, Jalan Hamzah, di sini, petang semalam.

Bungkusan yang mengandungi pasir itu diikat dan disusun dengan rapi, ditemui dalam sebuah kubur sepanjang 2.1 meter dan sedalam 0.3 meter selepas anggota polis menggalinya bermula jam 1 tengah hari.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata polis menerima laporan dari orang awam mengenai wujudnya sebuah kubur misteri yang digali tanpa kebenaran di tanah perkuburan itu, kelmarin.

Maklumat orang awam

“Maklumat dari orang awam terbabit mengatakan kubur berkenaan sudah digali kira-kira empat atau lima hari lalu oleh dua lelaki.

“Polis melakukan kerja menggali sebelum mengeluarkan 31 bungkusan kain putih yang mengandungi pasir. Bungkusan ini akan dihantar ke unit forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk ditimbang, dibuka dan dilihat apa kandungan dalam pasir itu,” katanya di sini, semalam.

Jalaluddin berkata, kerja menggali kubur misteri itu dilakukan selepas mendapat kebenaran mahkamah semalam mengikut Seksyen 335 (2) Kanun Prosedur Jenayah.
Ditanya sama ada kejadian ini ada kaitan dengan kegiatan pemujaan atau sebagainya, beliau enggan membuat sebarang ulasan mengenainya.

Dalam perkembangan mengenai seorang pemuda yang meninggal dunia selepas sehari menerima rawatan pemulihan di sebuah pusat rawatan dadah persendirian di Wakaf Baru, Jumaat lalu, Jalaluddin berkata, polis menahan reman 26 orang untuk membantu siasatan.

“Bagaimanapun, seorang daripadanya, iaitu pengusaha pusat berkenaan dibebaskan selepas diambil keterangannya manakala 25 yang lain, ditahan reman bermula hari ini selama tujuh hari.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Mangsa, Mohd Illias Ibrahim, 26, dari Kampung Cherang Tok Rong, Pasir Mas, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tumpat, dipercayai akibat dipukul di pusat berkenaan.

No comments:

Post a Comment