30 keluarga hilang tempat tinggal
Api marak memusnahkan 12 rumah di Jalan Kuching semalam.
SHAH ALAM – Sebanyak 30 keluarga di Lorong Arfah 3, Kampung Segambut Luar, Jalan Kuching, dekat sini, tinggal sehelai sepinggang selepas 12 rumah musnah dalam kebakaran jam 3 pagi, semalam.

Penolong Pengarah Bomba Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, anggota bomba dari Balai Bomba Sentul, Sri Hartamas, Jinjang, Jalan Hang Tuah dan Taman Tun Dr Ismail dikejarkan ke tempat kejadian dengan lima jentera dan berjaya memadam api sepenuhnya kira-kira jam 5 pagi.

Menurutnya, kebanyakan rumah yang hangus dibina dengan kayu dan bahan mudah terbakar menyebabkan api cepat merebak.

"Bomba turut mengalami masalah disebabkan tekanan air yang rendah di kawasan itu

"Masalah tekanan air rendah itu diselesaikan selepas Syabas dihubungi untuk membantu meningkatkan tekanan air," katanya.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan kerana penghuni sempat menyelamatkan diri.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

Difahamkan kesemua keluarga terlibat ditempatkan di dewan orang ramai kampung berkenaan untuk sementara.