Shaharon Anuar Abdul Latif
Shaharon Anuar Abdul Latif
BATU GAJAH - Tiga penganggur ‘kantoi’ selepas ditahan pada jam 5 petang Sabtu lalu kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun warga asing terutamanya di sekitar Ipoh dan Batu Gajah.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia 24, 26 dan 35 tahun berasal dari Gopeng, Taman Canning serta Buntong ditahan di Ipoh hasil maklumat dan risikan.

Menurutnya, sebelum ini, pihaknya menerima laporan daripada seorang pekerja warga Nepal yang bekerja di sebuah kilang kayu di Kawasan Perindustrian Pengkalan akibat diugut dan disamun suspek berkenaan.

“Dalam kejadian yang berlaku pada 30 Mac lalu kira-kira jam 10 pagi, mangsa  berusia 29 tahun bersama dua rakannya yang juga warga Nepal sedang berehat di asrama di Taman Sri Pengkalan dikejutkan dengan kedatangan suspek.

“Salah seorang suspek memperkenalkan diri dan mendakwa mereka adalah polis sambil menunjukkan kad kuasa polis sebelum mengarahkan mangsa untuk mengikut mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah.

“Ketika dalam perjalanan, suspek memaksa mangsa dan rakannya menyerahkan kad ATM dan nombor pin. Mangsa yang ketakutan menyerahkannya malah telefon bimbit mereka (mangsa) turut dirampas,” katanya.

Beliau berkata, salah seorang suspek turut mengugut dan mengacukan pisau ke arah mangsa supaya berdiam diri manakala seorang lagi suspek bertindak mengeluarkan wang tunai RM1,800 dari sebuah bank menggunakan kad ATM mangsa.

“Suspek bersama rakannya kembali ke kereta dan meninggalkan mangsa di belakang bank berkenaan,” katanya.

Shaharon Anuar berkata, semua suspek yang ditahan kini direman mulai 21 hingga 23 April untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar sebagai penjawat awam.