200 saman dikeluar JPJ Johor
Anggota JPJ menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan yang ditahan.
JOHOR BAHRU - Sebanyak 200 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan di dua lokasi berasingan Jalan Skudai, di sini malam kelmarin.

Operasi bersepadu itu melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Penolong Pengarah Penguatkuasa JPJ negeri, Razali Wagiman berkata, operasi selama empat jam itu melibatkan 50 anggota dan Pegawai JPJ Johor.

Menurutnya, kesemua saman itu dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada cukai jalan, lesen memandu, insurans, permit dan teknikal.

“Pada malam ini, kita menjalankan operasi bersepadu bermula jam 8 malam dan berakhir jam 12 tengah malam.

“Kami turut mendapat kerjasama daripada 40 anggota dan pegawai dari PDRM, AADK, SPAD dan KPDNKK,” katanya kepada pemberita selepas selesai operasi tersebut.

Razali berkata, sebanyak 10 buah motosikal dan kereta disita oleh pihaknya atas kesalahan berkenaan, manakala dua individu ditahan kerana disyaki di bawah pengaruh dadah.

Justeru, beliau menasihatkan semua penunggang motosikal dan pemilik kenderaan supaya tidak terlibat dengan sebarang perkara yang menyalahi undang-undang serta boleh mendatangkan bahaya terhadap diri masing-masing.

“Kita akan meneruskan operasi seperti ini dengan bantuan badan berkanun dan agensi kerajaan lain bila-bila masa dalam usaha membanteras samseng jalanan di sekitar bandar raya Johor Bahru,” katanya.