Perjalanan 2 bot ke negara jiran secara haram berjaya digagalkan
Pelabuhan Klang: Hasrat 17 pelarian warga Iraq memasuki negara jiran secara haram tidak kesampaian apabila mereka ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang dalam Ops Pensura di Sungai Chondong, Pelabuhan Barat, di sini, malam kelmarin.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said, berkata ketika pasukannya menghampiri bot berkenaan, dua tekong warga Indonesia dilihat terjun ke laut dalam percubaan mereka untuk meloloskan diri.
Tangkap tekong
Bagaimanapun, katanya, polis dapat menahan seorang tekong berusia 42 tahun manakala rakannya gagal dikesan selepas melarikan diri ke kawasan hutan paya bakau berhampiran.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 12 lelaki, seorang wanita dan empat kanak-kanak perempuan warga Iraq berumur antara sembilan hingga 50 tahun berada dalam bot berkenaan,” katanya di sini, semalam.
Norzaid berkata, siasatan awal mendapati semua warga asing terbabit memasuki negara ini secara sah sebulan lalu, sebelum cuba memasuki negara ketiga melalui Indonesia, dengan Malaysia dijadikan transit.
Katanya, warga asing terbabit dipercayai membayar antara RM700 hingga RM900 seorang kepada sindiket penyeludupan manusia.
“Mereka kini ditahan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti-Penyeludupan Migran (Pindaan 2010) dan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM di sini, untuk siasatan lanjut,” katanya.
No comments:
Post a Comment