Search This Blog

Thursday, April 11, 2013

14 cedera ditikam pelajar lelaki



Elena Tokarew (kanan) memeriksa leher anak saudaranya, pelajar Kolej Lone Star, Michelle Alvarez (dua dari kanan) selepas dia ditikam oleh seorang penuntut lelaki di kampus itu di Cyprus, Texas. semalam. - AGENSI
TEXAS 10 April - Seorang penuntut lelaki sebuah kolej komuniti di sini, ditahan polis selepas menyerang dan menikam sekurang-kurangnya 14 orang, semalam.
Timbalan Syerif daerah Harris, Thomas Gilliland berkata, suspek, Dylan Quick, 21, menggunakan pisau pencukur untuk melakukan serangan tersebut pada kira-kira pukul 11.20 pagi (1.20 pagi waktu Malaysia hari ini) di kampus Kolej Komuniti Sistem Lone Star.
Katanya, Quick kini ditahan polis dan didakwa atas tiga tuduhan melakukan serangan ganas.
"Siasatan polis mendapati, suspek sering berfantasi untuk menikam orang ramai sehingga mati sejak dia bersekolah rendah lagi.
"Dia juga mengaku telah lama merancang untuk melakukan serangan itu," katanya.
Pihak polis turut menemui pisau yang digunakan Quick dalam beg galas yang dibawanya.
Jurucakap jabatan bomba, Robert Sasa pula berkata, seramai 12 orang yang cedera dalam serangan itu terpaksa dibawa ke hospital berhampiran dan empat daripada mereka dibawa menggunakan helikopter.
Katanya, beberapa individu yang cedera enggan dirawat di lokasi kejadian dan kesemua mangsa mempunyai kesan luka akibat ditikam.
"Dua daripada mereka dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, manakala yang lain hanya luka ringan," katanya.
Seorang pelajar, Diante Cotton, 20, berkata, dia sedang duduk bersama rakannya di kafeteria sebelum seorang pelajar perempuan menjerit memberitahu tentang tindakan suspek menikam pelajar lain.
Katanya, dia dan rakannya bergegas keluar dan mendapati ramai orang yang mempunyai kesan luka di muka dan leher dibawa masuk ke dalam ambulans dan helikopter.
Serangan terbaharu semalam berlaku hanya tiga bulan selepas kejadian tembakan rambang di cawangan kampus Lone Star, di mana dua orang cedera dalam kejadian terbabit. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130411/lu_08/14-cedera-ditikam-pelajar-lelaki#ixzz2Q9FgzP3n
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment