Search This Blog

Saturday, April 27, 2013

13 korban serang hendap



Iligan: Sekumpulan lelaki bersenjata menembak mati 13 orang dalam satu serang hendap terhadap seorang datuk bandar, keganasan terburuk yang mencemarkan kempen menjelang pilihan raya Mei depan.

Penyerang bertindak melepaskan tembakan ke arah sebuah trak membawa Datuk Bandar Abdulmalik Manamparan dan penyokongnya di Pulau Mindanao, selatan Filipina, kelmarin, kata panglima tentera tempatan, Kolonel Ricardo Jalad.


“Mereka membunuh cucu perempuan saya,” kata Abdulmalik, 62, di hospital, tempat dia dirawat akibat kecederaan di kepala.

Menurut Jalad, anak perempuan datuk bandar itu turut terbunuh.


Tujuh orang juga cedera dalam serangan yang dikatakan polis berpunca daripada pertelingkahan antara suku kaum di kalangan anggota keluarga Islam di selatan negara itu.


Jurucakap Presiden Benigno Aquino, Abigail Valte berkata, pihak berkuasa berusaha mengenalpasti identiti dan motif penyerang.

“Kami mengecam keras tindakan keganasan itu. Kami merayu kepada penyokong calon yang bertanding supaya bertenang dan meneruskan sokongan kepada calon pilihan mereka,” katanya kepada wartawan.


Serang hendap di jalan raya di kawasan pedalaman yang bergunung-ganang berhampiran bandar Nunungan dilakukan ketika Abdulmalik dan penyokongnya dalam perjalanan pulang selepas berkempen dalam pilihan raya pertengahan penggal pada 13 Mei ini.

Menurut polis, 30 orang mati dalam 45 kejadian keganasan sejak kempen bermula Februari lalu.


Abdulmalik ialah Datuk Bandar Nunungan yang mana majoriti penduduknya beragama Islam dan akan bertanding untuk jawatan Timbalan Datuk Bandar. Sementara itu, anaknya bertanding untuk mengambil alih jawatannya selaku datuk bandar, terselamat dalam serang hendap itu.


Keluarga berkenaan menghadapi tentangan daripada calon yang disokong oleh Parti Liberal pimpinan Benigno. - AFP

No comments:

Post a Comment