TUMPAT – Lima lelaki, termasuk seorang warga emas, ditahan ketika leka berjudi di sebuah rumah di Kampung Belukar, Wakaf Bharu, di sini, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Shariffudin Yusof berkata, semua suspek berusia antara 35 dan 64 tahun, ditahan dalam serbuan Ops Dadu pada jam 4.30 petang.

Menurutnya, seorang suspek cedera di hidung, apabila berlaku pergelutan ketika cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun, kelima-lima suspek dibawa ke balai polis.

“Polis menemui daun terup dan RM197 dipercayai wang pertaruhan,” katanya.

Menurutnya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.