Warga asing gagal lolos diri
Sebahagian lelaki warga Vietnam yang ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Negeri, malam kelmarin.
IPOH - Seorang remaja berusia 17 antara 37 lelaki warga Vietnam dipercayai pendatang tanpa izin ditahan sepasukan anggota Jabatan Imigresen Negeri di sebuah rumah diTaman Bersatu, Simpang Pulai dalam satu operasi yang dijalankan malam kelmarin.

Ketika serbuan dilakukan, pelbagai taktik digunakan mereka untuk meloloskan diri dengan cuba memanjat dan bersembunyi di bumbung kediaman tersebut.

Bagaimanapun, mereka semua berjaya diberkas dalam operasi yang membabitkan 34 anggota Imigresen yang bermula jam 9 malam.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Perak, Irwan Zahid berkata, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya memberkas 37 lelaki warga Vietnam berusia  17 hingga 51 tahun dengan empat daripadanya memiliki pas lawatan sosial sudah tamat tempoh.

Menurutnya, sewaktu serbuan dijalankan lelaki warga Vietnam terbabit cuba melarikan diri namun cubaan mereka gagal.

“Ada antara mereka cuba melarikan diri melalui pintu belakang kediaman selain segelintirnya menyorok di atas bumbung rumah berkenaan.

Bagaimanapun usaha mereka gagal berikutan kawasan rumah berkenaan sudah dikepung dari awal,” katanya.

Katanya, hasil serbuan ke rumah itu, anggotanya turut menemui beberapa guni berisi peralatan dan keperluan untuk menjalankan kerja di dalam hutan  dipercayai digunakan untuk mencuri hasil hutan yang berharga seperti balak.

Sementara itu, dalam operasi seterusnya, seramai lima lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki Indonesia ditahan di sekitar tapak pembinaan, Medan Kidd dan stesen bas Jalan Perhentian atas kesalahan sama.

“Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tinggal di negara ini tanpa pas yang sah dan ada dalam kalangan mereka juga boleh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama iaitu tinggal lebih masa di negara ini tanpa alasan kukuh selain melanggar syarat pas yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata, mereka kini ditahan di Depot Imigresen Langkap bagi tujuan siasatan lanjut.