'Wa tak curi kereta itu'
Suspek (kiri) mendakwa hanya menyewakan kereta sebelum diserahkan pada kekasihnya.
KULIM - Kerana kekasih, seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan polis kerana dipercayai melarikan kereta dari sebuah premis sewa kereta di sini sejak 10 hari lalu.

Suspek yang sedang menunggang motosikal ditahan ketika polis membuat rondaan dan terserempak dengannya.

Suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Dalam keterangan dibuat, suspek mengaku mengenali seorang remaja perempuan berusia 20 tahun dan ingin menyewa kereta bagi tujuan peribadi.

Memandangkan tidak memiliki kad pengenalan dan lesen memandu, remaja itu telah meminta lelaki terbabit untuk menyewa kenderaan itu.

Bagaimanapun setelah beberapa hari, kereta disewa itu masih gagal dipulangkan.

“Wa tak curi kereta itu, wa cuma tolong sewa sahaja, lain hal wa tak tau. Itu amoi (kekasih) memang wa kenai. Sekarang kereta itu ada sama itu amoi punya tangan. Wa pun tengah cari sama dia untuk ambil balik kereta itu.

"Masa wa sewa itu kereta, dia ada pinjam wang sama wa. Wa ada bagi dia RM2,000. Sekarang kereta pun hilang, duit kena tipu, wa kena tahan lagi tidur lokap,” katanya.

Terdahulu menurutnya, teman wanitanya itu tiada kad pengenalan dan lesen, tetapi memberitahu mahu menggunakan kereta sewa berkenaan untuk hak peribadi.

Katanya lagi, disebabkan kasihan dengan wanita itu, lelaki terbabit membantu menyewakan kereta tersebut, namun tidak menyangka kekasihnya itu akan melarikan diri bersama kenderaan berkenaan.

Bagaimanapun lelaki terlibat ditahan kerana didapati positif dadah jenis methamphetamine dalam ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya.