Search This Blog

Saturday, March 23, 2013

Tutup kes selepas bicara 110 hari



Selepas 110 hari perbicaraan di Mahkamah Tinggi, di sini, pihak pembelaan dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya di Ladang Gadong, Banting, menutup kesnya, semalam.

Hakim Datuk Akhtar Tahir kemudian menetapkan 9 dan 10 Mei ini sebagai tarikh hujahan pada akhir kes pembelaan selain 23 Mei bagi keputusan kes itu.


Seramai 108 saksi pendakwaan dan 30 saksi pembelaan tampil memberi keterangan sepanjang perbicaraan bermula 4 Julai 2011.

Selain itu, 742 eksibit dan kira-kira 6,000 dokumen dikemukakan.


Mengikut pertuduhan, peguam N Pathmanabhan, 43, dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyalagan, 22; R Matan, 22, dan R Kathavarayan, 32, didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandu Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dan pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38.


Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara jam 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Pendakwaan kes dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


Terdahulu, dalam prosiding, peguam Manjeet Singh Dhillon menguji saksi terakhir pembelaan, peguam Roslie Sulle, 36, membabitkan pengakuan salah anak guamnya, K Sarawanan, 22, terhadap empat tuduhan melupuskan bukti dengan cara membakar mayat semua mangsa antara jam 9.45 malam dan 12 tengah malam, 30 Ogos 2010.

Manjeet kemudian menunjukkan demonstrasi bagaimana abu dimasukkan ke dalam tong sampah kecil sebelum mengarahkan Roslie membuang tong berkenaan.


MANJEET: Sekarang kamu akan bertanya saya apa itu? Saya akan beritahu malam tadi ada pergaduhan di rumah saya. Mahinder Singh dan Maan Singh (watak rekaan) menari dan saya tidak sukakannya dan pukul serta bakar mereka dan sekarang beri abu itu kepada kamu. Kamu buang dan kemudian didakwa. Jadi kamu membuat kesalahan, apakah kesalahan itu? ROSLIE: (Tidak dapat menjawab soalan) MANJEET: Adakah Suresh ditunjukkan foto (mangsa) di mahkamah ketika dituduh? ROSLIE: Tidak ingat.


MANJEET: Kamu tahu siapa Mahinder dan Maan Singh? ROSLIE: Tidak kenal.


MANJEET: Saya melakukan demonstrasi untuk menunjukkan betapa tindakan Roslie, peguam Mohd Naguib Abdul Malik dan timbalan pendakwa raya ketika Sarawanan dan Suresh didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok pada 15 Oktober 2010, tidak masuk akal. Bolehkah kamu mengasingkan yang mana satu Maan Singh dan Mahinder Singh? ROSLIE: Tidak boleh.


MANJEET: Kamu melupuskan Mann Singh dan Mahinder Singh, tetapi kamu tidak kenal mereka. Bagaimana kamu tahu benda ini bukan abu anjing atau kucing saya? Jenis peguam apakah kamu ini? ROSLIE: Pada tarikh itu, peguam M Puravelan yang memberi tumpuan kepada fakta kes manakala saya sendiri hanya melakukan mitigasi.

No comments:

Post a Comment