Tujuh tahun hilang suami
Normah bersama peguamnya, Mohd Asri menunjukkan dua gambar yang memaparkan wajah Roslee.
IPOH – Seorang tukang masak memohon bantuan orang ramai mengesan suaminya, Roslee Lajat, 62, seorang pesara polis berpangkat Lans Koperal yang tujuh tahun menghilangkan diri.

Normah Abu Bakar, 58, berkata, suaminya itu dilihat buat kali terakhir pada 3 Disember 2005 ketika keluar rumah pada jam 7 malam dan sejak itu tiada khabar berita diterimanya.

Menurutnya, tiada perubahan dilihat pada Roslee yang ketika itu keluar sehelai sepinggang namun, dia bersama tiga anaknya berusia 26 hingga 34 tahun tidak berputus asa mengesannya.

“Menyedari pasport suaminya tiada kecuali kad pengenalan, rekod Jabatan Imigresen mendapati suami saya sah telah ke luar negara pada tarikh dia dilaporkan hilang untuk ke Indonesia.

“Saya yakin suami ke Indonesia kerana tiga tahun sebelum menghilangkan diri, dia terlalu kerap ke sana (Indonesia) dan tinggal lebih dua minggu di negara itu sebelum pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Normah berkata, walaupun tidak membawa apa-apa pakaian, Roslee turut membawa wang tunai lebih RM20,000 berdasarkan slip pengeluaran bank yang ditemuinya.

“Buntu dengan keadaan itu dan mengenangkan nasib yang dilaluinya, saya berharap jika ada kenalan Roslee atau mana-mana pihak yang mengenali dapat mengubungi kami.

“Kami digantung tidak bertali selain menanggung hutang rumah. Khabar angin ada menyatakan dia sudah berkahwin di Indonesia dan tinggal di sana tetapi saya tidak pasti,” katanya.

Sementara itu, peguam Normah, Mohd Asri Osman telah memfailkan pengisytiharan kematian bekas polis itu memandangkan Roslee gagal dikesan lebih tujuh tahun di Mahkamah Tinggi di sini.

Pesuruhjaya Kehakiman Harminder Singh Dhaliwal telah mengeluarkan perintah pengisytiharan itu pada 19 Februari lalu namun, anak guamnya berharap lelaki itu dapat kembali ke sisi keluarganya.

“Ini adalah usaha terakhir Normah untuk  mengesan suaminya. Jika dikesan, segala urusan berkaitan pencen dan pinjaman perumahan kerajaan lebih mudah diselesaikan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Roslee boleh menghubungi Normah di talian 017-5571305 atau pejabat peguam Asri, Chek Ming & Co iaitu 05-2546885 atau 05-2532200.