kubur runtuh
Dari kiri: Jaafar, Dominic, Mohd Ashraf dan Ridzwan ketika melihat keadaan kubur yang runtuh, semalam.
KUALA LUMPUR - Kebimbangan seorang penggali kubur menjadi kenyataan apabila tujuh kubur di Tanah Perkuburan Kampung Sri Bangkong, Batu 5, Jalan Ipoh, di sini, yang terletak bersebelahan sebuah tapak projek kondominium, runtuh akibat hakisan.

Runtuhan sedalam kira-kira lima meter itu, berlaku pada Khamis lalu disedari salah seorang ahli jawatankuasa pengurusan tanah perkuburan itu sebelum dilihat sendiri oleh Jaafar Hussin, 48, yang telah bertugas selama 27 tahun sebagai penggali kubur di situ.

Jaafar berkata, dua minggu lalu, ketika melihat keadaan kubur yang betul-betul berada bersebelahan tapak projek itu hatinya terdetik kubur itu akan runtuh kerana risiko berada di tebing.

Menurutnya, dia telah memaklumkannya kepada pihak pengurusan tanah perkuburan, namun tiada tindakan diambil sehinggalah berlakunya kejadian runtuhan itu pada Khamis lalu.

“Perkara ini tidak pernah terjadi sebelum ini, mungkin kedudukan projek yang terlalu hampir dengan tanah perkuburan menyebabkan tanah terjejas dan faktor cuaca hujan juga menyebabkan ia terhakis.

“Pihak kontraktor projek kemudiannya mengambil tindakan menutup hakisan dengan plastik bagi mengelakkan hakisan lebih teruk kerana terdapat sembilan lagi kubur berhampiran yang berisiko runtuh,” katanya kepada Sinar Harian ketika lawatan bersama Pengerusi Penyelaras Gerakan Bahagian Batu, Dr Dominic Lau dan Pengerusi Pusat Khidmat Masyarakat Gerakan Parlimen Batu, Ridzwan Mohd Ali, ke tanah perkuburan itu, semalam.

Jaafar menambah, kubur yang terjejas itu berusia antara 15 hingga 30 tahun yang mana masih ada waris yang datang menziarahi pusara.

“Apa yang saya fikirkan sekarang adalah nasib jenazah yang sepatutnya diuruskan semula dengan lebih sempurna selepas keadaan itu terjadi,” katanya.

Bagi waris yang juga Timbalan Ketua Pemuda Umno Cawangan Kampung  Batu, Mohd Ashraf Abd Karim berkata, kejadian itu tidak harus dibiarkan apatah lagi kira-kira 16 ahli keluarganya disemadikan berhampiran kawasan terjejas.
“Jarak antara kawasan terjejas dengan perkuburan arwah datuk, nenek dan beberapa ahli keluarga lain kira-kira 6.09 meter, jadi saya harap perkara ini diselesaikan segera,” katanya.

Sementara itu Ridzwan berkata, selain masalah runtuhan projek tambakan tanah kubur sejak setahun lalu juga perlu diambil perhatian kerana tanah tersebut dipenuhi dengan bongkah batu besar.

Dalam pada itu, Sinar Harian difahamkan, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sedang mengambil tindakan bagi mengatasi masalah runtuhan kubur di situ selepas lawatan yang turut dilakukan semalam.