Tanaman sawit musnah disodok
Ghazali bersama beberapa penduduk menunjukkan pokok kelapa sawit yang musnah.
KEMAMAN – Seramai 30 penduduk Kampung Perasing Jaya, Jabor, di sini, yang meneroka dan mengusahakan tanah milik kerajaan sejak lebih setahun lalu kesal dan dukacita dengan tindakan pihak berkuasa yang bertindak menyita tanah serta merosakkan kira-kira 20 hektar tanaman sawit mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Perasing Jaya, Ghazali Ismail berkata, mereka mengambil keputusan mengusahakan tanah itu atas nama JKKK dengan modal lebih RM100,000.

“Setiap penduduk terpilih diberikan 0.8 hektar tanah seorang untuk diusahakan dan kami berpakat menanam pokok kelapa sawit dengan bantuan seorang kontraktor, sementara hasil yang akan diperoleh akan dipotong sebagai bayaran balik.

“Malangnya selepas lebih setahun dan hampir memperoleh hasil, kami menerima notis daripada Pejabat Tanah Kemaman lebih seminggu lalu supaya mengosongkan tanah ini,” katanya.

Lebih malang, empat hari lalu (27 Mac) mereka dikejutkan dengan kehadiran pegawai dan  kakitangan pejabat tanah bersama empat jentera berat yang menolak tanah di situ bersama pokok kelapa sawit, menyebabkan mereka kerugian lebih RM100,000.

Ghazali berkata, tidak cukup dengan itu, jalan masuk ke kawasan kebun sawit tersebut turut digali dan mereka dihalang masuk yang mana sebatang kayu balak diletak merentangi laluan dan diletakkan papan tanda dilarang menceroboh tanah kerajaan.

Katanya yang juga Ketua Umno Cawangan Umno Kampung Perasing Jaya, dia amat terkilan dengan kejadian itu kerana sepanjang kira-kira 30 tahun berkhidmat untuk kerajaan, dia tidak pernah meminta apa-apa atau diberikan walau sebidang tanah sama ada bagi tujuan penempatan mahupun pertanian.

“Kami turut menemui pihak yang berkenaan tetapi tetapi tidak dilayan dan semuanya menemui jalan buntu.

“Tujuan tanah ini diusahakan untuk bantu penduduk yang susah. Saya sebagai Pengerusi JKKK sangat sedih kerana tanah kami disodok dalam keadaan pilihan raya semakin hampir sekarang, sedangkan tanaman sawit bersebelahan seluas 3.2 hektar yang diusahakan masyarakat Cina serta tanaman sawit penyokong pembangkang yang berdekatan kilang papan kampung ini yang turut diusahakan atas tanah kerajaan tidak diambil tindakan pula,” katanya.
Dakwa Ghazali, akibat kejadian itu, JKKK turut ditempelak oleh pembangkang  yang mengatakan pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal membela nasib ahli mereka.

Sementara itu, Pegawai Daerah merangkap Pentadbir Tanah Kemaman, Mohamad Kamil Othman berkata, tindakan berkenaan diambil pihaknya kerana perbuatan meneroka tanah kerajaan itu menyalahi Kanun Tanah Negara.

Malah, menurutnya, selepas ini jawatankuasa tanah Pejabat Tanah Daerah Kemaman bersetuju untuk mengambil tindakan sama di beberapa tempat lagi dengan mengambil pendekatan meracun pokok kelapa sawit yang berumur antara lima dan enam tahun bagi menyelesaikan masalah pencerobohan tanah kerajaan.
“Kita bukan mahu berlaku zalim mahupun menganiaya tetapi negara ada undang-undang dan tindakan ini dibuat untuk menjaga khazanah negara. Masalah (pencerobohan) ini tidak boleh dibiarkan walaupun orang yang menceroboh itu ada pengaruh, ada keupayaan dan sebagainya,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya mengesan banyak lagi tanah kerajaan diteroka secara haram iaitu melibatkan tanah seluas 40,000 hingga 50,000 hektar di Dun Kijal dan beberapa tempat lagi di Dun Air Putih yang mana tindakan sama akan diambil secara berperingkat.

Mengulas mengenai rungutan penduduk yang beranggapan tindakan itu tidak sesuai dibuat waktu pilihan raya umum kian hampir kini, Mohamad Kamil berkata, tindakan itu tidak sewajarnya dikaitkan dengan pilihan raya kerana apa yang dibuat mengikut dasar kerajaan.