KULIM - Cubaan seorang lelaki berusia 24 tahun untuk mencuri motosikal jenis Yamaha 135Z di tempat letak motosikal di kawasan perindustrian di sini gagal apabila ditahan orang awam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam kelmarin, suspek dikatakan keluar dari sebuah kedai dan menghampiri sebuah motosikal di kawasan itu.

Suspek kemudian mengeluarkan kekunci alen iaitu sebuah alat besi berbentuk T untuk menghidupkan enjin motosikal mangsa.

Menyedari perbuatannyadiperhatikan orang awam yang berada di tempat kejadian, suspek mengambil tindakan melarikan diri
bagaimanapun, orang awam berada di situ mengejar cuba mengejar lelaki berkenaan.

Suspek bertindak mencampakkan kekunci alen ke dalam semak sebelum dibelasah orang awam dan mengalami kecederaan di seluruh badan serta kepala.

Bagaimanapun,  suspek yang tidak bermaya itu dihantar ke unit kecemasan Hospital Kulim kira-kira jam 11.30 malam apabila pihak polis sampai ke tempat kejadian.

Hasil pemeriksaan mendapati, suspek berada dalam keadaan kritikal dan perlu menerima rawatan rapi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, suspek akan disiasat dibawah seksyen 379A/511 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya jangan mengambil tindakan sendiri terhadap mana-mana suspek jika menahan mereka.
"Orang ramai seharusnya menyerahkan suspek kepada polis dan tidak bertindak di luar batasan dan jika suspek membuat laporan polis, mereka dipukul atau dicederakan, polis akan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka terlibat.

"Dalam kejadian petang kelmarin, doktor yang merawat suspek menyatakan keadaan suspek kritikal dan terpaksa dipindahkan ke hospital lain untuk rawatan lanjut," katanya.

Kata beliau, jika keadaan suspek bertambah serius dan maut, polis akan menahan semua orang awam terlibat dan mereka akan disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan.