SERDANG – Tindakan licik seorang tauke dadah menjadikan pondok usang dalam ladang sawit sebagai 'port' menyimpan barang dagangannya bagi mengelak dihidu pihak berkuasa terbongkar, apabila lokasi persembunyiannya diserbu polis, petang kelmarin.

Aktiviti itu terungkai hasil risikan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah sebelum mengadakan operasi khas bagi menjejaki suspek disyaki.

Sub Inspektor Ismail Omar yang masuk ke lokasi itu bagaimanapun terpaksa menunggu lebih dua jam sebelum suspek tiba dengan sebuah kenderaan.

Terkejut dengan kehadiran polis, suspek difahamkan cuba meloloskan diri namun berjaya diberkas.

Setelah pemeriksaan lanjut dilakukan, polis menemui 1,000 biji pil disyaki dadah jenis methamphetamine yang disorok di bawah guni berdekatan pondok rehat dalam ladang sawit itu.

Siasatan awal mendapati, suspek yang berusia 30-an itu dipercayai bergiat aktif membekalkan dadah kepada penagih sekitar.

Difahamkan, suspek yang turut mempunyai rekod penyalahgunaan dadah itu adalah suami kepada seorang jururawat yang bertugas di Dungun.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Rampasan dadah berkenaan dianggarkan RM30,000.

“Jika sabit kesalahan dia boleh dijatuhkan hukuman gantung mandatori,” katanya.