Sorok dadah dalam beg troli
Zulkurnain (dua, kanan) bersama pegawainya menunjukkan satu uncang kain hitam berisi dadah.
JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menggagalkan cubaan seorang lelaki warga India untuk menyeludup masuk dadah jenis ketamin seberat 9.307 kilogram bernilai RM325,745 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, dekat sini, 20 Mac lalu.

Timbalan Pengarah Kastam Johor (Bahagian Penguatkuasaan), Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, suspek berusia 45 tahun itu ditahan selepas anggota kastam Unit Khas Pemeriksaan Penumpang mengesyaki ada sesuatu disembunyikan dalam beg troli yang dibawanya.

Menurutnya, selepas pemeriksaan rapi dijalankan, pasukannya berjaya menemui serbuk putih dipercayai dadah berbahaya jenis ketamin yang disorokkan di pelapik dinding beg troli berkenaan.

“Lebih kurang jam 4 petang, sepasukan anggota mengimbas sebuah beg galas warna hitam dan sebuah beg troli warna biru gelap berjalur merah tua yang dibawa seorang lelaki India.

“Kastam juga memeriksa lapan buah beg komputer riba yang berada di dalam beg troli itu seterusnya berjaya menemui satu uncang kain hitam berisi serbuk putih dipercayai dadah jenis sama yang dijahit dan disorokkan di lapisan pelapik di dalam setiap beg komputer riba berkenaan,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Menara Kastam Johor, di sini, semalam.

Zulkurnain berkata, lelaki terbabit ditahan reman selama 12 hari untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan awal mendapati lelaki warga India ini dari Delhi, India sebelum ke Singapura, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Senai secara transit.

“Lelaki ini masih dalam siasatan dan terlalu awal untuk mengatakan dadah yang dibawa masuk untuk pasaran tempatan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, penahanan itu merupakan kes keempat penyeludupan dadah di pintu masuk negara melalui Johor yang berjaya dipatahkan JKDM Johor.

“Dua kes sebelum ini diperoleh pada bulan September tahun lalu di Bangunan Sultan Iskandar, di sini dan satu kes lagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada bulan November 2012,” katanya.

Justeru, Zulkurnain menyeru kepada orang ramai supaya membantu kastam dalam memerangi jenayah penyeludupan khususnya melibatkan dadah dan tidak melibatkan diri dalam aktiviti berkenaan.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil malah ia turut mendatangkan ancaman keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat.

“Golongan penyeludup pula sentiasa mengambil kesempatan dan mencari jalan mudah bagi mengaut keuntungan dengan menyeludup barang-barang larangan seperti dadah, rokok, minuman keras, bir dan sebagainya tanpa mempedulikan  kepentingan awam,” katanya.