Search This Blog

Saturday, March 23, 2013

Skim perdaya lepasan SPM



Ada pihak tertentu dikesan cuba memperdaya pelajar terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kononnya menyediakan skim biasiswa dinamakan Bantuan Biasiswa Pengajian 1Malaysia (BP1M).

Dalam satu kenyataan semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menasihatkan pelajar dan ibu bapa supaya tidak terpengaruh dengan skim itu sebaliknya melayari portal rasmi KPT di www.mohe.gov.my bagi mendapat maklumat lanjut mengenai biasiswa ditawarkan.


“Kementerian ingin menegaskan skim itu tidak pernah wujud dan ia adalah satu penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Pihak berkenaan menggunakan laman web dengan alamat http://biasiswa1msia.blogspot.com dan http://www.step2rich.net/iklan2u- kononnya menawarkan khidmat permohonan BP1M.


Berdasarkan laman web itu, pihak tidak bertanggungjawab berkenaan mendakwa menerusi skim terbabit, lepasan SPM boleh menikmati pelbagai kemudahan secara percuma bermula dari penginapan asrama selama tiga tahun, pengangkutan ke kampus, insurans, pakaian seragam, kelas bahasa Inggeris, kelas komputer, perpustakaan, WiFi di kampus dan asrama serta wang sara diri sebanyak RM100 sebulan bagi pelajar aliran Sains.


Skim terbabit kononnya ditawarkan kepada lepasan SPM yang mahu menyambung pengajian di peringkat diploma, ijazah dan A-Level.

Pemantauan mendapati dua laman web itu dibuat secara ringkas selain disertakan nombor hotline, namun terdapat komen pemilik akaun Facebook yang cuba bertanyakan maklumat lanjut.


Mereka yang mahu maklumat lanjut diminta menghantar nama penuh, nombor kad pengenalan, tahun pengambilan SPM dan alamat menerusi SMS.

Selain itu, menerusi laman web berkenaan, kononnya seminar dan taklimat akan diadakan di seluruh negara mulai hari ini pada jam 9.30 pagi namun lokasi tidak dinyatakan secara terperinci sebaliknya hanya nama ibu negeri bagi setiap negeri disiarkan.


Ketika Harian Metro menghubungi nombor hotline terbabit, lelaki yang menjawab panggilan berusaha untuk meletakkan telefon secepat mungkin selepas bertanya di mana nombor telefon itu diperoleh.


“Ikut saja apa yang ditulis...Sila SMS,” jawab lelaki itu sebelum memutuskan talian.


Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semalam menafikan kewujudan skim itu dan mengesahkan ia satu penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment