Sanggup jamu kaki judi
Sebahagian set komputer dirampas dalam serbuan pasukan D7, kelmarin.
SUNGAI SIPUT – Bukan hanya menawarkan wang tunai sebanyak RM10,000 tetapi, pengusaha pusat perjudian menyediakan nasi berlaukkan ikan sardin kepada kaki judi untuk tidak berganjak dari hadapan komputer.

Malah, salah sebuah premis yang diserbu turut menjadikan ia sebagai pusat permainan snuker bagi mengaburi aktiviti perjudian yang menjadi tumpuan golongan muda.

Dalam serbuan kira-kira jam 8 malam itu, polis berjaya menahan seramai 44 kaki judi termasuk empat lelaki Orang Asli di lima kedai sekitar Taman Jalong Baru di sini, kelmarin.

Pegawai Turus D7 Bukit Aman, Deputi Superintendan Tan Hin Heng berkata, lima penjaga premis berkenaan turut ditahan dan polis merampas sebanyak 146 set komputer dan peralatan berkaitan.

Menurutnya, operasi dijalankan oleh empat pegawai dan 15 anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Operasi selama dua jam itu hasil maklumat dan risikan berhubung kewujudan aktiviti judi internet di kelima-lima premis yang menjadi tumpuan penduduk setempat.

“Kita juga turut merampas wang tunai berjumlah RM2,683 yang dipercayai digunakan bagi tujuan berjudi. Selain menyediakan makanan, tempat disediakan agak mewah seperti VIP,” katanya.

Hin Heng berkata, kaki judi yang ditahan bukan sahaja menghabiskan wang simpanan tetapi sanggup menjual haiwan ternakan kepada ‘tauke’ kedai untuk meneruskan ketagihan berjudi.

“Mereka sanggup menjual ayam, itik dan kambing untuk ditukar kepada wang tunai dan meneruskan aktiviti berjudi bagi memenangi kereta, motosikal yang ditawarkan serta wang tunai RM35,000,” katanya.

Beliau mengesyaki kelima-lima premis merupakan pemilik sama berikutan modus operandi yang digunakan adalah sama iaitu menyediakan makanan.

“Kesemua barangan dan mereka yang ditahan berusia 20 hingga 50 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Pemantauan dan operasi secara berterusan bagi memastikan aktiviti haram yang kembali bergerak aktif itu dapat dibanteras sepenuhnya di negeri ini,” katanya.