KUANTAN - Seorang pemborong ikan menerima lebih 80 jahitan di muka, kepala dan kaki akibat dibelasah dua lelaki di hadapan rumahnya di Lorong Sri Kuantan di sini pagi tadi.
  
Mangsa yang dikenali sebagai Ah Chai, 56, dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan dan keadaannya dilaporkan stabil.
  
Kejadian berlaku kira-kira 4 pagi ketika dia mahu ke jeti Pelabuhan Kuantan untuk urusan perniagaannya.
  
"Mulanya saya dapati kereta saya pancit. Ketika saya sedang periksa tayar, dua lelaki tiba-tiba muncul dari longkang tepi rumah saya lalu memukul saya dengan batang besi," katanya ketika ditemui di hospital.
   
Dia berkata dua lelaki berkenaan yang memakai penutup muka kemudiannya melarikan diri setelah kejadian itu turut disedari orang ramai yang melalui kawasan itu.   

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supt Abdul Aziz Ahmad berkata mangsa tidak dapat mengenali suspek dan pihaknya sedang menyiasat motif serangan.
  
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.  - Bernama