Remaja 19 tahun ditahan
Alias (tengah) bersama anggotanya menahan suspek untuk siasatan lanjut.
KULIM - Hasil maklumat orang awam, Polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Kulim diketuai Sarjan Alias Ali berjaya menahan seorang remaja berusia 19 tahun di Taman Kempas, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, dalam kejadian jam 3 pagi itu,  polis  membuat rondaan mencegah jenayah sebelum ternampak suspek menunggang motosikal jenis Honda C70 dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, akibat takut dicekup suspek bertindak agresif dengan melempar tayar kereta ke arah kenderaan dinaiki polis.

"Polis kemudian memintas motosikal suspek yang cuba melarikan diri, bagaimanapun remaja berkenaan berjaya ditahan.

"Hasil semakan terhadap suspek mendapati remaja itu memiliki rekod jenayah lampau dan sudah menjalani hukuman penjara selama dua tahun kerana memiliki motosikal curi," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek pula, pihaknya menjumpai beberapa alat ganti motosikal dan tayar ganti kereta.

Jelasnya, suspek turut mengaku barang curi itu akan dijual kepada peniaga barangan lusuh.

"Suspek juga dipercayai terlibat mencuri beberapa alat ganti lain seperti kotak gear kereta di sebuah bengkel di jalan Air Merah.

"Remaja itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk siasatan lanjut” katanya.