Search This Blog

Wednesday, March 20, 2013

Putera palsu dipenjara 14 tahun



Brisbane: Seorang lelaki kaki perempuan dan mendakwa dirinya putera Tahiti dipenjarakan 14 tahun semalam kerana mencuri AUS$16 juta (RM51.8 juta) daripada Jabatan Kesihatan Australia.

Hohepa Morehu-Barlow, juga dikenali sebagai Joel Barlow, kelahiran New Zealand, mengaku bersalah terhadap lapan kesalahan termasuk menipu sebagai pekerja dan pemalsuan di Mahkamah Daerah Brisbane.
Ketika menjatuhkan hukuman, hakim Kerry O’Brien, berkata Morehu-Barlow memindahkan dana daripada geran yang dikendalikan untuk membiayai gaya hidup mewahnya.

“Saya tidak boleh pandang ringan jumlah wang terbabit. Ia adalah wang rakyat,” lapor akhbar The Australian memetik O’Brien sebagai berkata.

Tuduhan ke atas lelaki berusia 37 tahun itu berkaitan dengan menipu kerajaan negeri ketika bekerja sebagai pengurus pertengahan bagi Kesihatan Queensland antara 2007 dan 2011.

“Dana dipindahkan oleh Morehu-Barlow adalah wang awam bertujuan membantu badan kebajikan dan kumpulan komuniti lain.

“Wang berkenaan digunakan untuk menampung gaya hidup mewahnya yang kononnya putera Tahiti yang terpaksa bekerja untuk mendapatkan pusaka diraja,” kata pendakwa, Todd Fuller, kepada mahkamah seperti dilaporkan Brisbane Courier-Mail. - AGENSI

No comments:

Post a Comment