Keratan akhbar Sinar Harian
Keratan akhbar Sinar Harian 28 Mac lalu.
MENTAKAB - Polis telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seorang penghuni di Taman Rimba, di sini, bagi mengenal pasti lelaki yang menceroboh kediaman penduduk dan mencuri pakaian dalam.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, berdasarkan siasatan awal, lelaki berkenaan mungkin mengalami masalah mental.

“Polis telah mengambil keterangan penduduk dan meneliti rakaman CCTV mengenai kejadian tersebut dan siasatan kini menjurus kepada seorang suspek,” katanya pada sidang media semalam.

Abdul Aziz berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, polis menasihati penduduk di taman perumahan terbabit supaya menubuhkan pasukan rondaan sukarela bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Kejadian curi pakaian dalam wanita di taman perumahan itu berlaku sejak seminggu lalu, dengan kejadian terbaru berjaya dirakam CCTV seorang penduduk pada 24 Mac lalu.

Pemilik CCTV dikenali sebagai Chin berkata, ketika kejadian dia terdengar bunyi motosikal berlegar di halaman rumahnya.

Dia kemudian memeriksa CCTV dan terkejut melihat aksi seorang lelaki sedang memanjat pagar rumahnya dan jiran.