MELAKA - Polis Melaka menahan empat lelaki termasuk ketua kumpulan 'Geng Fitri' dipercayai terlibat dalam jenayah samun penjual surat khabar pada awal pagi di sekitar Melaka Tengah sejak Februari lepas.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata kesemua lelaki berusia antara 19 hingga 24 tahun itu berjaya ditahan di empat lokasi berbeza di sekitar Bukit Baru dan Duyong dalam satu operasi khas antara 4 petang hingga 8 malam semalam.
  
Beliau berkata hasil penubuhan pasukan khas bagi menjejaki ahli kumpulan tersebut polis berjaya melakukan tangkapan pertama melibatkan lelaki berusia 21 tahun di sebuah restoran di Bukit Baru pada 4.30 petang.
  
"Hasil soal siasat, polis berjaya menahan tiga lagi ahli kumpulan tersebut termasuk ketua kumpulan mereka yang dikenali sebagai Fitri berusia 22 tahun di tiga lokasi berbeza di Taman Permatang Duyong, Taman Sri Duyong dan Taman Tasik Duyong.
  
"Polis menerima hampir 20 laporan jenayah samun melibatkan penjual surat khabar dan siasatan awal mendapati kesemua lelaki tersebut mengaku terlibat dalam enam jenayah samun berkenaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya siasatan turut mendapati kesemua lelaki tersebut tidak mempunyai pekerjaan tetap dan ketua kumpulan tersebut mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah.
  
Raja Shahrom berkata kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
  
Beliau berkata polis turut merampas empat motosikal milik kesemua lelaki tersebut, tiga topi kaledar, lima telefon bimbit, satu  tukul besi, spanar, pisau lipat dan beberapa keping kad sim.
  
Katanya pada masa sama pihaknya sedang menjejaki dua lagi anggota kumpulan tersebut yang dikenali sebagai Rashid dan Lan berusia lingkungan 20-an kerana dipercayai turut terlibat dalam jenayah tersebut.
  
Raja Shahrom berkata Geng Fitri bergerak dalam kumpulan pada awal pagi dan mengekori penjual surat khabar sehingga di kawasan sunyi sebelum menahan dan mengancam mangsa menggunakan parang, pisau dan topi keledar agar menyerahkan barangan berharga seperti wang tunai atau telefon bimbit.
  
Beliau berkata kumpulan terbabit turut menyasarkan individu yang keluar berjoging dan ke pasar antara 5 hingga 6 pagi. - Bernama