Percutian bertukar tragedi
Keadaan mayat mangsa yang hanyut kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.
BIDOR - Percutian seorang pekerja IBM, Cyberjaya di kawasan Lubuk Degong, di sini, bertukar tragedi apabila lemas dibawa arus sungai ketika memancing di kawasan berhampiran, petang kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Sopian Madli, 27, berasal dari Kuching, Sarawak, dikatakan melawat rakan yang bekerja di Tapah sebelum memancing di kawasan Lubuk Degong.

Dalam kejadian itu, dua  pengunjung yang beriadah di kawasan itu turut nyaris maut apabila dihanyutkan arus deras sebelum diselamatkan penduduk kampung yang secara kebetulan ada di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superitendan Som Sak a/l Din Keliaw berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 5.30 petang kelmarin mengatakan ada seorang lelaki dikhuatiri lemas apabila dihanyutkan arus air deras yang datang secara tiba-tiba.

Menurutnya,  sepasukan menyelamat dikejarkan ke tempat kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

"Kami dibantu pasukan Bomba dan Penyelamat Bidor bagi mencari mangsa namun, operasi terpaksa dihentikan berikutan arus air yang deras, berbahaya selain keadaan semakin gelap.

“Operasi diteruskan pada pagi ini (semalam) dan berjaya menemui mangsa kira-kira dua kilometer daripada tempat dia dihanyutkan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Som Sak berkata, mangsa dijumpai tersangkut  pada pokok kelapa sawit oleh pasukan penyelamat.

Jelasnya, ketika ditemui mayat mangsa lengkap berpakaian dan dibawa ke Hospital Tapah untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu,  Ketua Balai Bomba dan Menyelamat Bidor, Mohd Azlan Mahiyidin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.30 petang semalam dan tiba pada jam 5.50 petang.

Katanya, 11 anggota digerakkan bagi mencari  mangsa dikhuatiri lemas di kawasan Lubuk Degong.