Perangkap lubang tinggal
Anggota JPAM bersama bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang terperangkap selama dua jam dalam lubang tinggal (gambar kecil) sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun.
IPOH – Seorang pekerja kontrak terperosok ke dalam lubang tinggal sedalam sembilan meter ketika sedang memotong rumput di kawasan pencawang elektrik di Bukit Kledang, Menglembu, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, mangsa, Muhammad Asyahad Masdar, 20, bersama empat rakan lain sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan terbabit.

Kejadian itu disedari oleh seorang rakan mangsa yang telah habis bekerja sebelum menghubungi pihak Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh.

Ketua Operasi JPAM, Staf Muda Pertahanan Awam Rayner Saimon berkata, seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kira-kira jam 9.59 pagi.

“Tiba di tempat kejadian, kita melihat mangsa terperosok ke dalam lubang tersebut bersama mesin rumput yang masih tersandang di bahunya.

“Agak sukar untuk melihat keadaan mangsa di dalam berikutan sangat gelap selain sempit menyebabkan penggunaan lampu suluh dan tali digunakan untuk membawa mangsa keluar,” katanya.
Menurutnya, usaha mengeluarkan mangsa mengalami kesukaran berikutan saiz lubang yang kecil serta perlu berhati-hati berikutan mangsa mengadu sakit bahagian tulang belakang.

“Anggota penyelamat terpaksa turun bagi mengesan mangsa dan berjaya mengikat tubuh mangsa sebelum mendukungnya keluar secara perlahan-lahan dari lubang itu.

“Mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira jam 12 tengah hari dengan kerjasama pihak bomba dan kita terus menghantar mangsa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan,” katanya.

Rayner berkata, mangsa bernasib baik berikutan tanah pada dinding lubang itu tidak runtuh sebaik dia terjatuh ke dalamnya.

“Ada kemungkinan lubang itu digali oleh pihak kontraktor untuk menanam tiang elektrik namun tidak dikambus semula dan ditinggalkan hingga ditutupi semak samun,” katanya