Penyamun nekad menyamar polis
Lokasi kejadian yang dipercayai berlaku ketika mangsa berseorangan di dalam kenderaan.
Mohamad Mansor Mohd Nor
Mohamad Mansor Mohd Nor
BENTONG – Seorang pengurus tapak projek pembinaan berdepan detik mencemaskan apabila dia digari lelaki menyamar sebagai polis yang kemudiannya melarikan kenderaan miliknya, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa yang berusia 56 tahun, baru sampai di tapak pembinaan bersebelahan sebuah stesen minyak di Jalan Baru Bentong-Raub, dekat sini.

Menurutnya, mangsa juga berada di dalam kereta jenis Toyota Hilux berwarna hitam seorang diri.

“Tiba-tiba seorang lelaki tempatan menghampiri kenderaannya dan memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis.

“Sejurus selepas itu, lelaki tersebut menggari tangan mangsa ke belakang dan menyatakan dia ada berhutang serta perlu dibawa ke balai polis,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, lelaki itu kemudiannya melarikan kenderaan mangsa ke arah Raub dan membiarkannya dalam keadaan bergari.

Menurutnya, mangsa dibawa rakannya ke Balai Polis Bentong untuk membuat laporan dan polis membantu membuka gari itu, bagaimanapun mangsa dilaporkan tidak mengalami kecederaan kerana lelaki tersebut tidak menggunakan sebarang senjata.

“Polis giat mengesan dua suspek dipercayai terbabit dalam kejadian itu. Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyamun,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, susulan kejadian itu, orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dengan tindakan sesetengah pihak yang menyamar sebagai anggota polis.

Katanya, polis sebenar akan menunjukkan kad kuasa dan hadir dalam keadaan beruniform sekiranya mereka mahu menahan atau membuat pemeriksaan ke atas seseorang.

“Kad kuasa polis terbahagi kepada dua iaitu berwarna biru untuk pegawai kanan berpangkat inspektor dan ke atas, manakala kad kuasa berwarna kuning pula bagi anggota berpangkat rendah,” katanya.