Penternak maut kena tetak
Mayat mangsa ditemui 300 meter dari kabin tempat tinggalnya di kawasan Padang Ragut Geduk, semalam.
TAMPIN – Seorang penternak kambing dan lembu ditemui mati dalam keadaan terlentang dan terdapat kesan tetakan di bahagian kaki, kira-kira 300 meter dari kabin tempat tinggalnya di Padang Ragut Geduk, di sini, semalam.
Sumber berkata, dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa, Wai Yee Meng, 54, ditemui oleh salah seorang anak buahnya yang melakukan gerakan mencari selepas seorang pekerja penghantar makanan ternakan gagal menemui Yee Meng untuk mengambil bayaran.

Menurut sumber, anak buah mangsa dan pekerja berkenaan sudah mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku susulan seekor anjing yang diikat di kawasan kandang ternakan itu turut mati dikerat,  manakala keadaan pintu ke kawasan ladang ternakan berkenaan seolah-olah dilanggar dengan kenderaan berat.

“Kedua-duanya berusaha mencari mangsa dan akhirnya mereka terkejut apabila menemui mangsa dalam keadaan terlentang dan terdapat lampu suluh tidak jauh dari sisinya.

Mereka bergegas menghubungi rakan penternak yang lain bagi membantu menghubungi balai polis berdekatan.

“Mangsa sememangnya sudah lama tinggal di kawasan ladang berkenaan bagi menjaga ternakan kambing dan lembu yang
diusahakan sejak 10 tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian, di, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Sepasukan polis IPD Tampin dan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinen (IPK) Negeri  bergegas ke lokasi bagi menyiasat kes berkenaan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.